BLOGGER TEMPLATES AND TWITTER BACKGROUNDS

Tuesday, July 14, 2009

Awat boleh jadi macam ni??

Mengapa kebiasaannya sepasang suami isteri yang telah berkahwin lebih daripada 10 ke 15 tahun sering mengalami kehilangan kemanisan dalam rumah tangga mereka?

Sering berlaku kesilapan apabila isteri merasakan wajah dan potongan badan itu paling utama atau difikirkan kemahiran memasak menu2 yang sedap2 adalah "key" untuk memikat hati si suami.Si suami pulak merasakan layanan yang romantik dan hadiah-hadiah yang cantik dirasakan akan menyebabkan isteri tertarik. Benar, semua yang dinyatakan ini penting, namun bukan itu yang utama dan segala-galanya!

Kita tidak boleh lagi memanipulasi tarikan seksual untuk menjaga keintiman hati.Seks, walaupun ianya satu keperluan namun ia bukanlah tujuan dalam berumah tangga. Apakah yang mengekalkan perkahwinan hingga ke akhir hayat? Seks? Jauh sekali. Tidak salah menghias diri menarik pandangan suami kerana lelaki lebih terkesan dengan penglihatan. Tidak salah terus memberi sentuhan romantic kerana isteri lebih terasa dengan sentuhan . Tetapi ingat, usia pasti meragut apa yang indah pada pandangan dan apa yang ghairah pada sentuhan. Terimalah reality bahawa awet muda, gagah perkasa dan segalanya yang berfokus kepada fizikal hanyalah ilusi. Tua pasti meragut segala-galanya. Cepat atau lambat.

Detik bertemu denganNya kian hampir..

Jadi, cinta jangan berpaut pada “dahan” yang rapuh itu.Cinta mesti berpaut pada akar yang sejati dan hakiki. Kata pakar seksologi, lewat 40 an, lelaki terus inginkan hubungan fizikal yang aktif, manakala wanita sudah beralih ke hubungan emosi yang lebih seni.Maka sibuklah lelaki mencari ubat itu dan ini.Seperti sibuknya wanita mencari formula mengurus,mengempis dan pelbagai “kegilaan” baru. Lihat sahaja produk yang tumbuh bagaikan cendawan pada ketika ini. Inilah reaksi dan respons baik kaum lelaki mahupun perempuan , akibat percaya bahawa cinta itu terletak pada sesuatu yang dilihat dan disentuh.

Terbius dengan kajian-kajian dan iklan yang pelbagai itu, kita lupa sepatutnya pecutan diri mesti ditingkatkan kerana detik untuk bertemu Allah kian hampir. Pasangan kita hakikatnya adalah sebelah sayap yang perlu digandingkan untuk terbang mencari keredhaan Illahi.

Tongkat ali vs Sayidina Ali

Ketika lelaki lewat 40-an sibuk mencari “Tongkat Ali”, mereka terlupa bagaimana pada usia begitu Sayidina Ali mencari sesuatu yang berbeza. Beliau pernah menangis beberapa hari sebelum mati dibunuh sambil berkata, “ Wahai dunia, kalau engkau hendak menipu, tipulah orang lain. Aku telah ceraikan kau dengan talak tiga!” Itulah roh perjuangan Saiyidina Ali. Dia melihat pada usia yang semakin meningkat , pecutan menuju Allah harus dipercepat. Begitu juga Imam Syafie, diusia 40 tahun beliau sudah memakai tongkat. Bila ditanya mengapa, dia menjawab, “ Aku mengingatkan diriku agar memecut lebih laju di jalan Allah”.

Harus diingat! Kita sebagai seorang manusia langsung tidak ada pengetahuan tentang bilakah mati akan bertandang diri ini. Betapa ramai anak-anak muda yang menemui ajal terlebih dahulu dari orang-orang yang berusia yang lain. Yang pastinya, setiap manusia akan menghadapi detik itu,detik penentu segala-galanya! Ke syurga kah atau ke neraka kah kita? Tepuk dada tanya iman, tanya apakah yang sudah kita lakukan sampai hari ini?? Layakkah kita memasuki syurga Allah kalau perintah dan laranganNya kita tidak ambil berat atau peduli? Ingat! Syurga atau neraka itu (akhirat) adalah tempat tinggal kita yang kekal hingga bila-bila setelah kita hidup di dunia yang sementara dan singkat ini. Oleh itu, bergantung kepada diri kita sendiri sama ada inginkan syurga atau neraka, semuanya bergantung kepada pilihan jalan kita di dunia ini iaitu samaada islam atau jahiliyah!

(Dipetik dari penulisan oleh Pahrol Mohamad Juoi dari Majalah Solusi)